Pendidikan pemulihan di Malaysia diperkenalkan selepas
projek perintis untuk meninjau keperluan mengadakan pendidikan pemulihan
dilancarkan oleh Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia pada
tahun 1967 (Kementerian Pelajaran Malaysia). Kelas pemulihan khas diwujudkan
bagi tujuan mengatasi masalah ketidakupayaan murid-murid lemah dalam menguasai
kemahiran asas 3M – membaca, menulis dan mengira. Dalam pengajaran pemulihan,
strategi pengajaran diubah suai untuk keperluan murid-murid yang mengalami
ketidakupayaan dalam pembelajaran.
Program Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) semenjak tahun 1960an bagi membantu
murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran
iaitu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira ( 3M ).
Pada tahun 1983, sistem pendidikan Malaysia telah
memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum baru ini
merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas pendidikan dengan memberi
fokus kepada 3M dan murid-murid yang tidak menguasainya dibantu melalui Program
Pemulihan Khas. Pengajaran dan pembelajaran pada Tahap 1 (Tahun 1-3) akan
membolehkan guru-guru mengenalpasti murid-murid yang mempunyai masalah
penguasaan asas 3M. Seterusnya pihak sekolah berusaha menyediakan Program
Pemulihan Khas bagi mengatasi masalah penguasaan asas 3M.
Fokus ke arah membasmi masalah 3M ini turut termaktub di
dalam teras ketiga : Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dan teras keempat :
Merapatkan Jurang Pendidikan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)
2006–2010 . Melalui kedua-dua teras ini, beberapa pelan tindakan dirancang
untuk memastikan murid-murid menguasai kemahiran asas 3M pada tahap 1. KPM akan
memperkasakan Program Pemulihan Khas dengan menaik taraf kelas pemulihan dan
menyediakan guru pemulihan khas terlatih yang mencukupi termasuk di Sekolah
Kurang Murid (SKM).
Selaras dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Program Pemulihan Khas juga
mengalami perubahan dalam pengajaran matematik yang kini diajar dalam bahasa
Inggeris.
Menurut Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran
Malaysia (2008) definisi program pemulihan khas “Satu program pendidikan
disediakan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran 3M
yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Program ini dijalankan oleh
guru yang khusus, di ruang yang khusus.” Manakala definisi murid pemulihan khas ialah “Murid
yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M disebabkan oleh
faktor persekitaran dan bukan kognitif”.









terima kasih atas maklumat ini...progam pemulihan khas ini sangat membantu....
ReplyDelete